Tentang Program MYHackathon

Program MYHackathon 2024 adalah program hackathon peringkat kebangsaan yang diwujudkan oleh Kerajaan Malaysia bagi membantu di dalam pendigitalan Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan Malaysia kepada Rakyat. Program ini merupakan sebuah inisiatif di bawah MYStartup dan dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta dilaksanakan oleh Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle).

Program MYHackathon kini telah memasuki edisi ketiga penganjuran, selepas edisi MYHackathon 2020 dan MYHackathon 2022. Program edisi ketiga ini, MYHackathon 2024 hadir dengan tema Hackathon Nasional untuk Malaysia MADANI.

Program MYHackathon 2024 menekankan aspek inovasi di dalam menyelesaikan masalah pendigitalan servis kerajaan. Proses kolaboratif dan inklusif ini bermula dengan penglibatan langsung bersama dengan pemilik pernyataan masalah, membolehkan MOSTI dan Cradle untuk mengenal pasti masalah dan keperluan yang paling mendesak mereka, memastikan bahawa penyelesaian yang akan dibangunkan adalah relevan dan tepat pada masanya.

Program MYHackathon 2024 seterusnya akan mempersembahkan pernyataan masalah ini kepada ekosistem syarikat pemula (start-up), komuniti teknologi dan ahli institusi akademik dari IPTA dan IPTS seluruh Malaysia, dan menjemput mereka untuk bersama sama menyelesaikan setiap pernyataan masalah di dalam program ini.

Solusi yang berjaya akan dinamakan sebagai salah satu pemenang program dan akan menerima geran bersyarat bernilai RM250,000 dari Cradle. Geran ini menyokong pembangunan lanjut penyelesaian mereka selama 12 bulan berikutnya, untuk membawa solusi setiap pernyataan masalah ke tahap pelaksanaan lapangan (pilot deployment) di tapak pemilik pernyataan masalah yang berkenaan.

Selepas proses pelaksanaan lapangan yang berjaya, terdapat potensi yang tinggi bahawa solusi tersebut mendapat jualan pasca program (follow on sales), memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak pemenang dan pemilik pernyataan masalah

Inisiatif oleh:
Dikuasakan oleh:
Sebuah program di bawah: